Pagi2 blog walking ke blog The Writer aka Zuwairi bila tengok tajuknya  Al-Fatihah untuk blogger ZAZA~ Saya pun meneruskan pembacaan dan rasa sangat terkejut bila tengok link blognya adalah link blog Zaza yang selalu berkunjung ke blog picisan ni.
Innalillahi wainnaillaihi rojiun.. Zaza dah kembali menemui Maha Pencipta pada 9 Ogos 2010 kerana terlibat dalam kemalangan jalan raya di Kelantan. Saya terlambat mengetahui berita ni.
Oleh Rosliza Mohamed

2010/08/11

PASIR MAS: Seorang gadis yang menghidap penyakit tulang reput terbunuh selepas dihempap kereta dinaikinya bertembung dua kenderaan lain dalam kemalangan di Kampung Padang Licin, Rantau Panjang, petang kelmarin.
Kejadian jam 4 petang itu berlaku ketika mangsa, Siti Nor Izzah Shahdan, 21, bersama adiknya, Amar Zahid, 18, dalam perjalanan membeli-belah di pekan Rantau Panjang selepas menziarahi datuk mereka yang menghidap barah tulang di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ) di Kota Bharu.

Ketika dalam perjalanan ke pekan terbabit, Perodua Kelisa dinaiki mangsa bersama dua lagi rakan terbabas sebelum bertembung dengan dua kenderaan masing-masing Proton Saga dan Hyundai Atoz, menyebabkan mangsa tercampak keluar menerusi tingkap kenderaannya.

Kemalangan itu mengakibatkan Siti Nor Izzah cedera parah dan meninggal dunia di tempat kejadian selepas dihempap kereta dipandu adiknya yang juga penuntut Kolej Teknologi Darulnaim, Pengkalan Chepa.

Ibu mangsa, Asmah Omar, 47, yang juga seorang guru di Perlis berkata, dia mengetahui kejadian menimpa anaknya selepas dihubungi guru lain yang kebetulan berada di tempat kejadian kira-kira jam 4 petang.

Katanya, ketika kejadian anaknya dalam perjalanan ke Rantau Panjang membeli barang selepas beberapa hari berada di Kota Bharu kerana membawa datuknya menjalani pembedahan di HRPZ II.
 

Sebelum keluar ke pekan Rantau Panjang, arwah meminta wang daripada saya membeli barang, tapi saya tidak memberikannya kerana bimbang mereka berbelanja lebih.

“Saya tak bimbang kerana sebelum ini adiknya biasa memandu kereta dan saya difahamkan suami, dia sentiasa memandu secara berhemah,” katanya yang bercuti beberapa hari di negeri ini bagi menemani ayahnya yang sakit di Kota Bharu. 

Katanya, meskipun sukar menerima Siti Nor Izzah maut dalam kemalangan itu, mereka sekeluarga reda pemergiannya.

Asmah berkata, dia bersama ahli keluarga ke Hospital Pasir Mas (HPM) sebelum membawa pulang jenazah ke kampungnya di Perlis untuk urusan pengebumian.

Katanya, sebelum ini dia sentiasa ke Kota Bharu kerana membawa Allahyarham menerima rawatan susulan daripada doktor pakar.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Haliludin Rahim berkata, turut berada dalam kenderaan dinaiki mangsa ialah dua rakan adiknya, Abd Rahman Mohd Nor, 21, dan Mohd Taufik Montasir, 18.

Menurutnya, sebaik tiba di tempat kejadian kereta dipandu adik mangsa dipercayai cuba memotong kereta lain sebelum terbabas merempuh Proton Saga yang datang dari arah bertentangan dan bertembung dengan Hyundai Atoz dipandu seorang wanita.

“Akibat pertembungan itu, mangsa dipercayai tercampak keluar sebelum dihempap keretanya sendiri yang dikatakan terbalik.

“Mangsa yang menghidap tulang reput sejak kecil dan berjalan menggunakan tongkat disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala,” katanya.

Haliludin berkata, adik mangsa dan dua rakannya yang cedera ringan dikejarkan ke HPM untuk mendapatkan rawatan.

“Mayat mangsa dihantar ke HPM untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarganya yang tinggal di Perlis untuk urusan pengebumian,” katanya.

Katanya, polis juga mengambil keterangan daripada dua lagi pemandu kenderaan terbabit.

 
**************************
Sesungguhnya, tak siapa pun dapat menyangkal saat2 kematian kita. Hanya Allah yang Maha Berkuasa yang menentukan segala2nya. Kali terakhir arwah ke sini pada 6 Ogos 2010 di mana arwah meninggalkan jejak di Shoutmix box saya. Walaupun tak pernah bertemu, bersua muka tapi kisah kehidupan dia melawan penyakit membuatkan saya kagum dengan semangat arwah. Sekarang yang tinggal hanyalah blog arwah sebagai kenangan.
Semoga roh Allahyarhamah Siti Nor Izzah binti Shahdan dicucuri rahmat dan ditempatkan dikalangan orang2 yang beriman. Semoga Allah Mengampunkan dosa2 arwah. Amin.


©Hernee Nazir – Setiap makhluk akan merasakan mati,dan kematian tersebut akan menjemput siapa saja dan di mana saja kita berada..