Dengan berat hati membuat entri Hari Ibu😦
Selamat Hari Ibu
untuk ibu mertua yang saya kasihi Puan Tipah binti Yet.. dan juga buat makcik2, kawan2 dan semua wanita yang bergelar ibu. Semoga perngorbanan kalian diberkati Yang Maha Esa. Insya’Allah.

Sungguh tak disangka ini suapan terakhir di Hari Ibu tahun lepas. Masa ni Mak baru saja disahkan menghidap kencing manis. Tapi dia tetap ceria walau dalam hati hanya Allah yang tahu.
Kali ni ucapan yang dapat saya lafazkan hanya pada dua batu nisan sahaja. Pagi tadi kami sempat ke kubur Mak dan nenek2. Selepas membaca apa yang patut, dalam hati saya berkata “Selamat Hari Ibu.. Mak, Tok Mok dan Tok Esah.. semoga kalian tenang di sana”

Jasa dan pengorbanan kalian tak terbalas. Semoga Allah mengampunkan dosa2 dan mencucuri rahmat ke atas roh Mak, Tok Mok dan Tok Esah.

 Al-Fatihah buat Bonda Kasmah binti Daud

 Al-Fatihah buat Nenda Hjh Zaliha binti Hj Abd Ghani
Al-Fatihah buat Nenda Esah binti Kunuk
 Ke Makam Bonda – Usman Awang
Kami mengunjungi pusara bonda
Sunyi pagi disinari suria
Wangi berseri puspa kemboja
Menyambut kami mewakili bonda
Tegak kami di makam sepi
Lalang-lalang tinggi berdiri
Dua nisan terkapar mati
Hanya papan dimakan bumi
Dalam kenangan kami melihat
Mesra kasih bonda menatap
Sedang lena dalam rahap
Dua tangan kaku berdakap
Bibir bonda bersih lesu
Pernah dulu mengucupi dahiku
Kini kurasakan kasihnya lagi
Meski jauh dibatasi bumi
Nisan batu kami tegakkan
Tiada lagi lalang memanjang
Ada doa kami pohonkan
Air mawar kami siramkan
Senyum kemboja mengantar kami
Meninggalkan makam sepi sendiri
Damailah bonda dalam pengabadian
Insan kerdil mengadap Tuhan
Begitu bakti kami berikan
Tiada sama bonda melahirkan
Kasih bonda tiada sempadan
Kemuncak murni kemuliaan insan
~Usman Awang~

©Hernee Nazir – Segala kenangan bersama tetap segar dalam ingatan.. tenanglah kalian di sana.. buat yang masih ada kedua ibu bapa.. hargailah mereka.. tanpa mereka siapalah kita..