..tangan ini tak akan membelai lagi.. entri ini bukan untuk menagih air mata anda semua.. entri ini luahan hati saya yang masih pilu..bukan menolak takdir.. tidak sama sekali.. saya redha.. cuma ini cara saya meluahkannya supaya kesedihan yang terbuku dapat dileraikan sedikit demi sedikit…

Malam semalam sebelum tidur saya sempat buat apa yang patut. Doa banyak2 dengan harapan dapat berjumpa dengan dia dalam mimpi. Alhamdulillah Allah makbulkan doa saya. Sempat juga saya jumpa dia, dapat melepas rindu walau hanya dalam mimpi. 

Bila terjaga, saya rasa sedih sangat. Rasa tak nak keluar dari mimpi tadi. Rasa nak peluk dia lama2 dan tak nak lepaskan. Astaghfirullahal’azim. Saya bermimpi. Al-Fatihah saya titipkan untuknya setiap kali kerinduan menjelma.
Pagi tu saya ceritakan pada En. Nazir. Sampai office, saya masih teringat mimpi indah itu. Sambil menjalankan tugas, air mata saya bergenang. Saya melayan perasaan seorang diri. Bila dah tak tahan saya terus ke tandas menghamburkan air mata yang tak dapat ditahan lagi.

Hari ini genap 2 minggu pemergian arwah. Masih terngiang2 suaranya menahan kesakitan. Hilang rutin harian melayannya, mengurut badannya tatkala menahan sakit, membuatkan susu untuknya. Semuanya berlaku sekelip  mata. Kadang2 rasa diri ini masih bermimpi. Rupanya semuanya benar belaka. Kadang2 mulut ini pantas saja memanggil namanya di rumah.Oh Tuhan, tabahkanlah. Semoga semakin lama hati ini akan pulih. Walau dada ini pedih menahan rindu. Pedih sangat pedih. Saya redha dengan ketentuan-Nya.Allah lebih menyayangi insan sebaiknya.

Alhamdulillah saat2 akhir, Allah memberi kami peluang menjaga arwah. Dia juga seakan tidak mahu saya melepaskannya. Setiap detik saya disampingnya. Bila hilang sekejap, ditanya kemana saya. Paling syahdu bila kami memohon maaf antara satu sama lain lima hari sebelum pemergiannya. Bergenang air matanya bila bermaafan dengan anak2 dan suami tersayang. Di pegangnya kepala saya, dia kata “nak cium”. Sambil menahan tangis, saya berikan dia peluang untuk mencium pipi saya. Saat ini, tiada lagi ciuman darinya dan untuknya setiap kali saya ke tempat kerja. Tatkala tangannya menggapai ayah, air mata tak tertahan lagi. Syahdu sangat syahdu.

Kami masih meneruskan rutin melayannya seperti hari2 biasa, ayah pesan “jangan tinggalkan mak walau sekejap”. Dalam hati saya, dapat mengagak maksud ayah, tapi masih terus berdoa yang dirinya akan terus kuat melawan penyakit. Kami bergilir2 menjaga, waktu tidur pun kami abaikan.  Setiap kali ada kesempatan, saya cium dia puas2. Jiran tetangga, saudara mara tak henti2 berkunjung menziarah dari hari Jumaat sehingga saat2 akhir. Alhamdulillah, terima kasih semua.

Malam terakhir kami bersama, saya rasa kakinya mula sejuk. Saya hanya menyedapkan hati sendiri. Tak mahu berfikir yang bukan2. Kami tetap meneruskan tugas seorang anak2. Kalimah2 Allah dan bacaan ayat2 suci tak henti kami titipkan mohon Allah permudahkan segalanya. Dalam hati masih mengharapkannya kembali seperti dulu.

Bila hari semakin pagi, kakinya semakin sejuk. Saya memujuk hati supaya bersabar dan tenang untuk menghadapi apa jua yang terjadi. Pagi itu masih sempat lagi, menjalankan rutin harian. Kerja di pejabat saya lupakan buat seketika. Mak adalah segala2nya. Waktu menginjak ke tengahari, keadaannya semakin membimbangkan. Kami anak beranak sentiasa disisi. Lupa waktu makan. Perut serasakan kenyang. Dia dah tak mampu menyahut panggilan kami lagi.

Semakin petang semakin ramai kawan kumpulan Yaasin arwah berkumpul membacakan surah Yaasin. Kami tetap di sisi menemani. Dalam hati hanya Allah yang mengerti. Saat2 kehilangan akan tiba bila2 masa saja. Saya berusaha menjadi kuat yang saya mampu, walaupun adakala saya tersungkur lemah.

Azan Asar berkumandang, dia masih begitu menunggu saat dijemput menghadap Yang Maha Esa. Semakin ramai yang menziarah. Jam 6 petang, nafas semakin perlahan, kalimah Allah tak putus kami ucapkan bergilir2. Alhamdulillah dia masih ingat Yang Esa.
Jam 6.15 petang, nafas semakin lemah. Waktu semakin dekat. Sayup2 kedengaran alunan nafas. 
Jam 6.20 petang arwah menghembuskan nafas yang terakhir. Sebak hati, lemah segala sendi , melihat bonda tersayang terbujur kaku. Allah Yang Maha Esa telah menjemputnya dengan tenang. Syukur alhamdulillah saya panjatkan. Sekurang2nya dia pergi dengan tenang. Sekurang2nya dia tak terseksa menanggung derita menahan kesakitan.
Terasa dunia ini gelap seketika. Kosong. Bonda yang selama ini melahirkan sudah tiada di dunia. Yang tinggal hanya sekujur tubuh kaku tak bernyawa. Saya cuba tahan air mata dari mengalir, tapi saya tak mampu. 
Kami bertiga beradik sempat melakukan tanggungjawab terakhir seorang anak. Kalau sebelum ini Al-Fatihah dan tahlil saya sedekahkan untuk nama2 datuk, nenek, pakcik dan makcik serta kaum muslimin dan muslimat yang lain tapi kali ini Al-Fatihah dan tahlil ini saya tujukan untuk bonda saya sendiri.
Arwah selamat dikebumikan pada 24 March 2010 jam 10.30 pagi di Tanah Perkuburan Tanjung Kupang bersebelahan dengan kubur arwah emaknya iaitu nenek saya. Syukur tak terhingga, semuanya berjalan dengan lancar.

Kini, kemana pun saya berada di dalam rumah ini, saya dapat rasakan dia ada bersama saya. Saya takkan pergi jauh dari adik2 dan ayah. Alhamdulillah Allah mengurniakan saya suami yang sangat2 memahami. Segala dugaan yang menimpa saya selama ini terlalu banyak hikmahnya. Allah mengatur dengan sempurna segala2nya.

Rindu ini takkan pernah pudar untukmu bonda tersayang. Tenanglah bonda di sana. Amin.


..Al-Fatihah buat bonda Kasmah binti Daud..