Hari Ahad lepas, masa nak parking kereta balik dari open house Jijah, saya ternampak dua orang adik beradik ni baru sampai ke kawasan blok saya. Memang kebiasaan waktu petang dua beradik ni akan jual kuih dari rumah ke rumah. Saya kenal mereka, jiran setaman Mak saya.

Masa dah nak masuk pintu rumah, saya ternampak yang si abangnya Fiqar menjaja kuih di blok saya dan adiknya di blok depan. Selalunya dia akan tanya saya samaada nak belik kuih atau tak. Tapi hari tu tak pulak. Macam tahu je yang saya memang tengah kekenyangan. Sebelum masuk ke rumah saya panggil dia.

“Fiqar, sini jap”

“Kenapa Kak Long?” jawab Fiqar.

Mungkin dia ingat saya nak beli kuih dia. Bukannya tak nak beli, tapi saya dah kenyang. Kalau beli nanti membazir tak ada siapa nak makan.

Saya pantas mengeluarkan duit RM2 dari wallet.

“Nah amik duit raya ni, seringgit untuk Fiqar, seringgit lagi beri adik”

Bila dia dah ambil duit tu, saya pun pandang dia sambil nak menutup pintu. Tiba-tiba Fiqar bersuara.

“Kak, ni bukan seringgit, ni lima puluh ringgit”

Saya terus berpaling pada Fiqar. Ya Allah, memang betul, saya terbagi dia duit RM50 bukan RM1. Nasib baik Fiqar jujur budaknya. Kalau yang tak jujur mungkin dah cabut macam tu je. Kalau terlepas pada tangan Fiqar sekali pun RM50 tu, saya anggap tu memang rezeki dia. Rezeki hari raya.

Bila teringat semula, saya rasa macam ada sesuatu yang menyentuh hati saya. Walaupun kehidupan Fiqar tak berapa mewah, tapi dia tak gelap mata bila nampak duit macam tu. Harap-harap kejujuran dia ni kekal sampai dia dewasa, sampai tua dan sampai akhir hayat dia nanti.

Sifat jujur dalam hidup kita ni memang penting. Dari sifat jujur ni lah menyemai benih kepercayaan orang lain pada diri kita.

Hadith sahih, Bukhari dan Muslim telah meriwayatkannya dari Ibnu Mas’ud R.A, Rasulullah S.A.W telah bersabda:

Kejujuran selalu membawa pada kebaikan, dan kebaikan membawa ke syurga. Sesungguhnya, seseorang yang selalu bersikap jujur, ia akan di”cap” dan di”kenali” sebagai orang yang jujur di sisi Allah.Manakala pembohongan, pasti membawa pada perbuatan dosa, dan dosa selalu membawa ke neraka. Sesungguhnya, seseorang yang selalu berbohong, di sisi Allah, ia akan di”cap” sebagai pembohong.


Sekadar renungan dan ingatan untuk diri sendiri yang belum sempurna dan juga untuk kawan-kawan semua.

post signature